KENALI GOUT

SEJAK zaman Hippocrates penyakit gout telah mendapat perhatian pakar-pakar perubatan kerana ia membabitkan begitu ramai manusia yang menderitainya.
Sebagai salah satu penyakit sendi yang tertua, ia juga dikenali sebagai `raja segala penyakit dan penyakit di kalangan raja.' Gout menyebabkan penghidapnya mengalami kesakitan yang amat sangat dan hilang upaya untuk bergerak.
Penyakit ini mula dikenali sejak empayar Rom. Ramai penghidapnya terdiri daripada kalangan pemimpin ketika itu kerana pengambilan alkohol dan makanan yang cukup mewah.
Gout yang boleh mengganggu rutin harian penghidapnya berlaku apabila garam asid urik yang berlebihan dalam badan membentuk kristal seperti jarum di sendi-sendi tubuh.
Pakar Perunding Reumatologi, Hospital Putrajaya, Dr. Heselynn Hussien berkata, bahagian-bahagian sendi yang biasa terbabit ialah sendi di bahagian ibu jari kaki, lutut dan buku lali.
Menurut beliau, pengumpulan jarum kristal ini mengakibatkan seseorang pesakit mengalami radang sendi dengan gejala-gejala tertentu.
``Ini termasuklah pembengkakan, merah, panas, sakit dan kaku pada bahagian sendi terbabit,'' katanya.
Selain itu ia juga boleh membabitkan bahagian-bahagian tertentu tubuh seperti tapak kaki, jari, siku dan cuping telinga di mana asid urik boleh terkumpul.
Pembentukan jarum kristal pada cuping telinga ini dinamakan tophi.
Asid urik merupakan sejenis bahan kimia yang terhasil daripada pecahan purina atau bahan-bahan buangan di dalam tubuh.
Biasanya, asid urik ini akan diserap ke dalam darah masuk ke buah pinggang untuk dikumuhkan melalui air kencing.
Bagaimanapun, jika penghasilannya dalam tubuh meningkat atau buah pinggang gagal mengumuhkan bahan buangan ini, parasnya akan meningkat.
Paras asid urik yang tinggi ini berlaku sekiranya individu terbabit mengambil makanan yang mengandungi purina yang tinggi seperti makanan laut, hati, ikan bilis dan pelbagai jenis kekacang.
Peningkatan asid urik dalam darah dikenali sebagai hiperuricemia.
Meskipun paras asid urik yang tinggi ini tidak berbahaya namun parasnya yang berlebihan boleh menyebabkan pembentukan kristal dan terjadinya gout.
Menurut Dr. Heselynn, gout lebih banyak dideritai oleh lelaki dalam lingkungan umur 40-an ke atas berbanding wanita.
``Biasanya wanita hanya boleh mendapat gout selepas mereka menopaus,'' katanya.
Bagaimanapun, jika individu yang menghidapnya terdiri daripada mereka yang muda iaitu lelaki yang berumur di bawah 30 tahun atau wanita yang belum menopaus, doktor mengesyaki bahawa mereka mungkin menghadapi masalah enzim.
Masalah ini menyebabkan penghasilan purina secara berlebihan atau kegagalan dalam pemprosesan di bahagian buah pinggang.
Katanya, setakat ini belum ada statistik mencatatkan jumlah sebenar penghidap gout di negara ini.
Di Amerika Syarikat, statistik menunjukkan tiga peratus daripada penduduknya menghidap gout, iaitu nisbah 840 dalam 100,000 orang.
Di Malaysia gout lebih banyak ditemui di kalangan suku kaum seperti Dayak dan Orang Asli.
Di New Zealand, penyakit ini lebih banyak dihidapi oleh orang Maori dan penduduk di kepulauan Pasifik.
Punca
Terdapat banyak faktor yang dikaitkan dengan punca berlakunya gout seperti:
* Genetik. Faktor ini memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan risiko seseorang mendapat gout.
Dianggarkan antara enam hingga 18 peratus mereka yang menghidap gout mempunyai sejarah keluarga.
* Berat badan berlebihan. Pengambilan makanan secara berlebihan meningkatkan penghasilan asid urik dalam tubuh dan risiko hiperuricemia iaitu asid urik yang tinggi dalam darah.
* Pengambilan minuman keras secara berlebihan boleh mengganggu proses pembuangan asid urik dari tubuh.
* Memakan makanan yang kaya dengan purina boleh menyebabkan gout atau menjadikan gout yang dihidapi semakin teruk.
Segelintir individu mungkin menghadapi masalah kecacatan enzim di mana ia mengganggu proses pemecahan purina dalam tubuh.
* Pendedahan kepada plumbum dalam alam sekitar.
Sesetengah individu mempunyai tahap asid urik yang tinggi dalam cecair tubuh mereka kerana pengambilan sesetengah ubat.
Ubat-ubatan seperti yang disenaraikan boleh menyebabkan hiperuricemia kerana ia menurunkan kemampuan tubuh untuk Mengumuhkan asid urik seperti:
* Diuretik untuk hipertensi, edema dan penyakit jantung.
* Asid salicylic seperti aspirin dengan dos yang rendah.
* Vitamin niacin yang dikenali sebagai asid nikotinik.
* Cyclosporine iaitu ubat-ubatan yang digunakan untuk mengawal penolakan tubuh terhadap organ yang dipindahkan.
* Pyrozinamide, ubat penyakit tibi.
Gejala* Sakit pada sendi terutama pada sendi ibu jari kaki.
* Panas pada sendi.
* Rasa sakit yang amat sangat.
* Merah pada bahagian yang sakit.
Pencegahan
Berat badan yang berlebihan sering kali dikaitkan dengan gout. Sebaik-baiknya mereka yang menghadapi masalah berat badan berlebihan ini mengawal berat badan mereka.
* Kurangkan pengambilan makanan yang kaya dengan purina seperti hati, makanan laut termasuklah ikan bilis, udang dan sebagainya.
* Elakkan mengambil minuman keras.
Rawatan
Sejak dari zaman empayar Byzantium (Tahun Masihi 457), colchicine merupakan ubat yang diberikan untuk menangani serangan gout secara tiba-tiba.
Meskipun ubat ini berkesan namun ia boleh menyebabkan individu terbabit merasa loya, muntah dan cirit-birit.
Sesetengah individu yang mendapat serangan gout lebih tiga atau empat kali dalam setahun perlu mengambil ubat gout setiap hari.
Ubat yang dikenali sebagai Allopurinol ini perlu dimakan setiap hari bagi mengurangkan asid urik dalam badan.
Bagaimanapun, dengan rawatan yang betul kebanyakan pesakit gout dapat mengawal gejala-gejala yang dihidapi di samping dapat menjalani kehidupan normal.
Malah, gout juga boleh dirawat dengan menggunakan satu atau kombinasi rawatan.
Sasaran untuk rawatan gout ini adalah untuk mengurangkan kesakitan akibat gout secara tiba-tiba, mencegah serangan yang mungkin berlaku dan mengelakkan pembentukan tophi atau batu karang pada buah pinggang.
Rawatan yang biasanya diberi kepada pesakit yang mendapat serangan gout secara tiba-tiba ialah dos ubat NSAIDs atau suntikan ubat kortikosteroid pada sendi terbabit.
Pesakit biasanya akan pulih dalam jangka masa beberapa jam atau bebas daripada sebarang serangan dalam jangka masa beberapa hari selepas rawatan.
Komplikasi
Selain kesakitan yang amat sangat pada sendi, sesetengah pesakit berkemungkinan menghadapi masalah pembentukan batu karang pada buah pinggang.
Bagi masalah gout yang serius yang lebih dikenali sebagai chronin tophaceous, garam asid urik yang membentuk kristal ini boleh membentuk kapur pada sendi.
Serangan gout ini lebih menyakitkan dan mencucuk-cucuk ketika ia menyerang.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?





No comments:

Post a Comment